- Gadis 14 tahun ini kelu seketika selepas mendapati hukuman bakal dikenakan ke atasnya akibat cuba bunuh diri.
Natijahnya, dia terpaksa menanggung hukuman yang bakal dikenakan akibat perbuatan di luar kewarasannya itu.
Dia yang difahamkan anak ketiga daripada lima beradik itu bakal berdepan hukuman penjara atau denda.
Tertuduh yang sempat ditemui Sinar Harian selepas pendakwaan dilakukan ke atasnya berkata, dia melakukan perbuatan itu kerana gagal mengawal emosi selepas menghadapi masalah pelajaran dan keluarga.
“Saya menyesal melakukan kesalahan itu. Mungkin apa yang saya lalui ini merupakan pengajaran buat saya. Saya nasihatkan rakan-rakan lain agar tidak melakukan perbuatan ini kerana ia salah di sisi agama dan undang-undang,” luah gadis 14 tahun yang berhadapan dakwaan cuba membunuh diri itu.
Pelajar perempuan terbabit berhadapan dakwaan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.
Dia yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun pagi semalam didapati melakukan perbuatan itu pada jam 9.10 pagi 6 Mac lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pelajar yang berasal dari Kampung Kuala Abang itu bagaimanapun mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hazwanie Hussain Bustari.
Dia dikenakan jaminan sebanyak RM1,500 dan mahkamah menetapkan 24 Disember ini sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
No comments:
Post a Comment