- Mohd Zahar (dua, kanan) dan Mohd Fauzi (kanan) bersama anak-anaknya menziarahi kubur Saayah.
Mohd Zahar berkata, ibunya, Saayah Bakri, 70, sempat melambaikan tangan kepadanya dan anak perempuannya, Nurul Fatiha, 10, sewaktu tiba di rumah selepas membawa arwah menjalani pemeriksaan tekanan darah tinggi di Klinik Sungai Besar 2 Disember lalu.
Menurutnya, dia kemudian menghantar Nurul Fatiha balik ke rumahnya di Simpang Lima Sungai Besar sebelum bergerak ke Shah Alam untuk mengambil adiknya, Mohd Fauzi, 41, untuk ke rumah kakak mereka di Felda Keratong 10, Rompin Pahang.
“Saya tak sangka arwah ibu pergi dalam sekelip mata, sedangkan pada hari itu (2 Disember lalu) saya sempat membawanya pergi ke klinik dan keluar makan sebelum menghantarnya pulang ke rumah,” ceritanya sebak.
Mohd Zahar berkata, dia juga mempelawa Allahyarham ibunya ke rumah kakak sulungnya, Masnah, 54, tetapi ditolak Saayah atas alasan sibuk kerana ingin menanam cili di hadapan rumah.
“Arwah beritahu dia cadang nak datang ke rumah kakak sewaktu kenduri di rumah kakak bulan enam (Jun) depan, tetapi malangnya, hajatnya tak kesampaian,” katanya sambil memberitahu dia hanya mengetahui kematian ibunya selepas seorang anak saudaranya menghubunginya dan memaklumkan Saayah gagal dihubungi sejak beberapa hari lalu.
“Sebaik tiba di rumah arwah, saya mula rasa tak sedap hati apabila terhidu bau di luar rumah. Apabila mengintai di tingkap, alangkah terkejutnya saya apabila mendapati mayat ibu sudah rebah di ruang tamu rumah,” katanya.
Sementara itu, anak bongsu arwah, Mohd Fauzi yang tinggal di Seksyen 19 Shah Alam berkata, kali terakhir dia menghubungi arwah ibunya itu sebelum berangkat ke Pahang.
“Sempat juga saya bertanya khabar arwah pada masa itu, tak sangka itu adalah perbualan terakhir saya bersamanya sebelum dimaklumkan dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya, di sini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa, Saayah Bakri, 70, ditemui anak lelakinya itu selepas diberitahu salah seorang jiran yang memaklumkan mangsa gagal dihubungi.
Beliau berkata, anak mangsa terus ke rumah ibunya itu sebelum terkejut apabila mendapati wanita itu sudah meninggal dunia sebaik menjenguk menerusi tingkap di ruang tamu rumah berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi yang dihidapinya dan mendapati tiada kes jenayah berlaku memandangkan tiada kecurian dilaporkan berlaku di rumah berkenaan.
Noor Mushar berkata, polis percaya mangsa dipercayai meninggal dunia antara lima hingga tujuh hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang reput.
No comments:
Post a Comment